
Wang tidak akan merajai kita kalau kita sedar yang wang itu kurniaan Allah SWT. Dia akan memberi kita wang pada masa yang Dia mahu, dan Dia akan menariknya dari kita bila-bila masa yang kita mahu. Bila kita sedar akan kekuasaan Allah SWT, wang tidak lagi menjadi 'raja' dalam hidup kita. Sebaliknya pula wang menjadi 'hamba'. Bila kita berwang, dan dalam masa yang sama kita ingat kekuasaan Allah SWT, kita akan berhati2 menggunakannya, mengingati semua suruh dan tegah Allah SWT berkenaan dengan wang. Wang menjadi 'hamba' - alat - yang memberi banyak kelapangan pada jasmani dan minda serta rohani. Malah wang yang dilaburkan kerana Allah SWT untuk apa jua urusan dunia, akan berganda pula di sisi ALlah SWT. Ketika itu wang bukan lagi sesuatu yang 'kotor' dan melalaikan, malah menjadi titi dalam menyampai rasa kasih kita kepada Allah SWT dan RasulNya.
Dalam keadaan tidak berwang, atau jumlah cukup-cukup makan sahaja, mengingati Allah SWT akan mengundang ketenangan dan kesabaran yang tinggi. Ya! Kesabaran yang tinggi. Manakan tidak tinggi, dengan segala barangan keperluan yang bukan setakat naik harga, malah tidak cukup bekalan pula, tanpa kesabaran, akan timbullah rasa mahu mencuri, mencopet, merompak, meragut dan seribu satu cara menambah wang dengan cara yang tidak halal.
Kesabaran yang tinggi di kala kesempitan yang membuahkan kegembiraan yang maha hebat bila kesempitan itu dapat dilalui dengan sabar dan tenang dan tidak melakukan perkara2 yang tidak dihalalkan ALlah SWT sebagai cara menambah pendapatan. Bila kesempitan bertukar kelapangan, tiada tergambarkan kegembiraan.
Penulis mengamati Bonda penulis sendiri yang hidup serba sederhana sejak dahulu hinggalah sekarang. Sekarang ini dia agak senang sedikit, namun sikapnya masih menampak kesederhaan dan kesiapsagaan andai kesempitan datang kembali. Bonda bukan seorang graduan IPT seperti penulis, namun Bonda memiliki kebijaksanaan dan kesabaran yang tinggi. Dia meminta penulis kurang menyebut2 kekurangan yang ada di hadapan orang lain, temasuk dia sendiri. Bukanlah dia menggalakkan hipokrisi. Bukan! Dia, bahkan, menggalakkan kesabaran yang turut terpancar dari kata2.




