Friday, February 3, 2012

CABARAN BARU MENANTI DI SMJK KEAT HWA 2, JALAN KUALA KEDAH

Sekolah pertama tempat memulakan kerjaya mengajar adalah di Sungai Siput, kawasan majoriti kaum India. Sekolahnya mempunyai guru dan pelajar yang majoritinya Melayu-Islam. Ada sekitar 5% orang bukan Melayu.. Adalah sedikit pengalaman mengajar bangsa selain Melayu untuk dibawa ke SMJK Keat Hwa 2, sekolah ketigaku.

Sekolah keduaku adalah SMK PADANG TERAP, Kuala Nerang, Kedah. Melapor diri di sini pada Disember 2009. 2 Februari 2012 adalah hari terakhir aku bertugas di sini. Di sini guru, staf dan pelajarnya majoriti Muslim-Melayu. Ada sedikit pelajar berbangsa Siam di sini. Sememangnya suasananya berbeza - di antara sekolah ini dengan sekolah pertamaku, SMK TOK MUDA ABDUL AZIZ, Sungai Siput U, Perak. Di kedua-dua sekolah ini, yang terserlah adalah pengalamanku bersama pelajarnya. Bezanya, pengalaman di sekolah pertama sangat masak, manakala di sekolah kedua, hampir masak.

Apa rasanya pengalaman bersama pelajar di kedua-dua sekolah itu? Sememangnya manis. Bagaimana pula di sekolah baru, SMJK KEAT HWA 2? Terdapatkah ramuan yang boleh memaniskan keberadaanku di sana nanti? Ya! Aku bertanya begini kerana bukan aku yang mencipta kemanisan yang dirasai hati ini. Allah Yang Maha Pengasih yang menciptakannya. Aku laksanakan tanggungjawabku sebaik mungkin agar mendapat redhaNya. Moga kemanisan jua yang akan aku rasa di sana. Jika Allah takdirkan kepahitan, aku sedia menerima.

Apakah cara pengajaranku akan berubah? Apakah nanti aku perlu memegang rotan sebelum ke kelas? Bolehkah aku gunakan senjata kasih dan sayang di sana? Termakankah nanti pelajar2nya akan umpan kemanisan kasih sayang yang akan aku tawarkan? Persoalan ini aku lontarkan kerana perbezaan bangsa memungkinkan perbezaan tafsiran ke atas kaedah yang digunakan.

Sepanjang 8 tahun mengajar, dua kaedah menjadi sumber inspirasiku - kaedah yang dipakai oleh sahabat Rasulullah SAW, Sayyidina Uthman bin 'Affan ketika berhadapan dengan para pemberontak Mesir yang mahu membunuhnya. Dia menggunakan kelembutan dalam berhadapan dengan mereka. Sepupunya, Mu'awiyah ibn Abi Sufyan menawarkan bantuan ketenteraan, namun ditolaknya. Di akhir pertembungan, kelembutan beliau dibalas dengan pembunuhannya yang memilukan.

Kaedah kedua adalah bersumberkan ibuku sendiri yang memelihara 10 orang anak dalam kepayahan. Di zaman di mana lampin mesti dibasuh untuk digunakan semula, dia berjaya melaluinya. Di zaman seterika arang masih digunakan, dia berjaya melalui dengan jayanya. Dalam keadaan serba ala kadar, ibu berjaya membesarkan 10 orang anak bersendirian dengan jayanya. Dalam proses itu, ibu mempraktikkan nilai kasih sayang, sabar, kreatif, bijak dan tidak putus asa. Dia tidak perlu berkasar bagi memastikan 10 orang ini berada di jalan lurus.

Aku tidak menemukan kekasaran melampau dalam kedua-dua sumber inspirasiku ini. Dan aku dapat nikmati kehebatan mereka dengan cara mereka itu. Moga aku dapat terus berbuat demikian di sekolah baruku. Dan aku sentiasa ingatkan diriku bahawa hati-hati pelajarku adalah milik Allah. Jika dia berbangsa Cina sekalipun, hatinya masih milik Allah. Maka, kepada Allah-lah aku pohon agar aku dapat menawan hati mereka untuk menerimaku dan menerima pengajaranku.

This is the time!!


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com