Kerana 'A', ramai ibu bapa berada di kedudukan sukar untuk menyeimbang kehidupan anak-anak mereka. Kerana 'A', mereka terpaksa meletakkan anak mereka dalam keadaan 'sibuk belajar' kerana beberapa sebab.
Pertama, menjauhkan trauma perbandingan kejam antara anak ini dengan anak itu. Jika 'anak ini' tidak dapat 'A', dia akan diletakkan dalam kumpulan gagal. Kedua, kehendak ibu bapa sendiri yang mahukan yang terbaik untuk 'anak ini'. 'Terbaik' di sini lebih disamaertikan dengan jumlah A maksimum yang diperolehi.
Berada di bidang pendidikan, saya berpeluang menelaah dan memahami perbezaan yang dimiliki oleh setiap individu bernama kanak-kanak yang kemudiannya bernama pelajar. Mereka memiliki kecenderungan berbeza. Apa yang sepatutnya dilakukan sejak berpuluh tahun dulu ialah kecenderungan berbeza ini dicanai sehingga menjadi satu aset kepada individu itu.
Apa yang berlaku sekarang ialah kita, secara tidak sedar, memberitahu pelajar-pelajar bahawa kemahiran kognitif sahaja jalan untuk berjaya. Kemahiran bertukang dan kemahiran seni muzik mahupun lukisan terutamanya dipinggirkan dan dianggap tidak punya masa depan. Pelajar-pelajar yang berkemahiran ini pula akan mendapat perhatian minimum, dan ini mewujudkan kelas pelajar yang tidak bermotivasi serta sering menimbulkan masalah kepada sekolah, keluarga dan masyarakat. Lalu, kebanyakan mereka ini dilanda Demam 'E'.
Tiada atau kurangnya perhatian kepada mereka telah mendorong mereka mencari panduan sendiri. Jika mereka punya kemahiran muzik, mereka akan merujuk kepada idola-idola muzik luar yang kebanyakkan pembawanya tidak atau kurang berakhlak. Mengapa jadi begitu? Pada pandangan saya, ini berlaku kerana kurangnya perhatian oleh sistem pendidikan sekarang dalam mencanai kemahiran muzik dan muzikal yang baik sehingga ke tahap cemerlang. Pelajar-pelajar yang berkemahiran muzik, bertukang dan seni lukis, sebagai contohnya, menduduki kasta rendah dalam sistem pendidikan.
Pelajar-pelajar cemerlang kognitif ini diberi perhatian serius dari segi mental, spiritual serta akademik. Diadakan kursus motivasi untuk mereka, majlis bacaan Yaasin, dibawa ke bengkel-bengkel jauh dan dekat dan ditawarkan pelbagai habuan. Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar yang kurang cemerlang akademik? Adakah kecemerlangan kemahiran mereka diraikan oleh sistem yang ada? Tidak adakah pendekatan yang sama dengan mereka? Cukupkah dengan mengadakan sekolah khas untuk mereka? Hantar mereka ke sana, dan 'Hah! Duduklah kamu diam-diam di sini.'
Jadi, apa yang boleh dibuat ialah dengan, pertama, merubah sistem yang ada agar tidak terlalu berfokuskan 'A' sebagai tahap kecemerlangan tertinggi agar stigma masyarakat terhadap pelajar-pelajar yang tidak cemerlang akademik boleh dihapuskan sedikit demi sedikit. Kedua, diharap agar anggota masyarakat turut sama berfikir sebelum bertindak 'keras' terhadap pelajar2 yang kurang cemerlang ini. Berlemah-lembut dengan mereka adalah ajaran Nabi Muhammad saw. Dan, yang terakhir, golongan pelajar sendiri mesti aktif membangunkan diri dalam apa jua bidang dan mengemaskini akhlak masing2.
Semoga Allah merahmati kita, rakyat Malaysia seluruhnya.



No comments:
Post a Comment